Saturday 29 October 2011

Derita sang pencinta


Lahir tidak cukup bulan punca Ani tidak boleh berjalan. Kekuatan tulang yang terlalu lemah buat keluarga resah. Namun segalanya hanya sementara apabila bapa saudara Ani menggunakan buluh sebagai ikhtiar terakhir. Ani mula belajar berjalan menggunakan buluh yang diikat di kaki. Ikhtiar tanpa kenal erti putus asa akhirnya berjaya dan Ani sudah mampu berjalan. Ani tinggal bersama atuk dan neneknya. Rutin harian Ani hanyalah menemani atuknya ke surau membentang sejadah. Sikap menurut kata tanpa ragam buat Ani disayangi atuknya tetapi nenek Ani sering mengabaikannya. Akan tetapi mereka seperti sebuah keluarga bahagia. Ani mempunyai tujuh adik beradik. Ayahnya bekerja sebagai anggota polis di Tapah. Adik beradik Ani yang lainnya tinggal bersama kedua ibu bapanya.
Ketika umur Ani mengjangkau tujuh tahun, Ani dihantar ke rumah keluarganya. Gara-gara tidak mahu merenggangkan hubungan Ani sekeluarga, atuknya berat memberikannya semula kepada kedua ibu bapanya. Sungguh berat rasa hati memulangkan Ani sedangkan sudah tujuh tahun dia menjaga, memberi kasih sayang dan sanggup berkorban nyawa demi Ani.
Ani memanggil ibunya makcik angkara tidak biasa. Ani terpaksa mengambil masa untuk rapat dengan keluarganya. Terbelit lidah Ani mahu memanggil nama mak juga berat bibir Ani untuk membiasakannya. Bukan mahu membuka aib sesiapa, tetapi Ani memang tidak disukai ibunya. “ Kau berhentilah pukul Ani. Kalau kau benci sangat kat dia, kau bunuhlah dia terus.” Begitulah kata-kata atuk Ani sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Betapa berat mata memandang Ani yang sering dipukul. Walaupun dibenci ibunya, kasih sayang seorang bapa tetap Ani perolehi. Bapa Ani terlalu sayangkan Ani berbeza dari anak-anaknya yang lain.
Akan tetapi Allah lebih sayangkan bapa Ani. Ani terpaksa berpisah dengan bapa kesayangannya. Seorang-seorang yang Ani sayangi pergi meninggalkan Ani. Bermulalah kehidupaan Ani menghadapi pelbagai dugaan hidup. Walaaupun sering dipukul, sedikitpun Ani tidak menyimpan dendam terhadap ibunya malah Ani menjadi semakin sayang. Ani tahu dia tiada sesiapa melainkan ibunya dan kegigihan ibunya menjaga dia dan adik beradik lainnya membuatkan dia mahu membalas segala jasa ibunya. Bagi Ani kasih sayang ibunya pada dia masih ada jika ibunya diberi peluang.
Ani mempunyai kawan baik. Anisah namanya. Keakraban mereka sudah seperti adik beradik. Kemana sahaja pasti bersama. Ani berasa sangat gembira mengenali Nisah. Nisah seorang gadis yang gemuk. Sering Nisah dijadikan bahan kutukan rakan lainnya. Sebagai seorang gadis manis dan disukai ramai, Nisah sering dibanding-bandingkan dengan Ani. Perbezaan mereka memang ketara tapi Ani tidak pernah menyakiti Nisah. Ketika Ani mahu kahwin, Nisahh menjadi sangat tertekan. Dia mula berasakan yang dirinya hodoh dan tidak akan pernah disukai. Anisah akhirnya mengambil keputusan menguruskan badan. Namun Allah lebih menyayanginya. Anisah pergi meninggalkan Ani.
Kehidupan rumah tangga yang tidak pernah bahagia buat Ani kuat. Ani menjalani liku-liku hidupnya yang berat. Menjadi seorang isteri yang tabah demi menjaga anak-anak. Kasih sayang suaminya yang pasang surut begitu menguji kesabaran Ani. Cinta Ani seperti tidak tahu hujung pangkalnya. Terlalu banyak liku hidup berumahtangga yang kena Ani hadapi. Saat ini Ani hanya mendiamkan diri. Aku dapat rasakan masih ada rahsia yang Ani simpankan. Hanya mereka yang kahwin dengan bukan pilihan hati sahaja yang tahu berat pengalaman Ani. Aku dapat rasakan Ani disayangi Allah memandangkan kehidupannya yang sering diuji.
Di hujung-hujung umur ibu Ani, ibunya hanya memanggil-manggil nama Ani. Seperti ibunya tahu betapa besar ujian Ani hadapi selama bersamanya. Tiada dendam mahupun benci walaupun sekelumit.. Menjaga ibunya di saat terakhir buat Ani rasa gembira kerana selama ini Ani tidak pernah merasa menjaga ibunya dan berkasih sayang. Tapi kasih sayang Ani lemparkan hanya sementara. Akhirnya ibunya meninggalkan Ani. Tiada siapa Ani miliki kecuali adik beradik lainnya. Ani memaafkan ibunya dengan ikhlas.

No comments: